Pada akhbar bertarikh 01 Mac baru-baru ini, dunia perniagaan negara
kita menyaksikan peningkatan bilangan rakyat Malaysia seramai tiga orang yang mempunyai
aset lebih AS$1 bilion yang bersamaan dengan RM3.09 bilion. Jumlah tersebut
meningkat kepada 14 orang berbanding 11 orang pada tahun 2011. Berikut
merupakan senarai jutawan atau billionare di Malaysia.
1. Robert Kuok - AS$12.5 bilion (RM38.63 b)
2. Ananda Krishnan - AS$11.7 bilion (RM36.15 b)
3. Lim Kok Thay - AS$6.6 bilion (RM20.39 b)
4. Teh Hong Piow - AS$5.6 bilion (RM17.30 b)
5. Quek Leng Chan - AS$4.8 bilion (RM14.83 b)
6. Lee Shin Cheng - AS$4.5 bilion (RM13.91 b)
7. Yeoh Tiong Lay - AS$2.8 bilion (RM8.65 b)
8. Syed Mokhtar AlBukhary - AS$2.75 bilion (RM8.50 b)
9. Tiong Hiew King - AS$1.8 bilion (RM5.56 b)
10. Vincent Tan - AS$1.3 bilion (RM4.02 b)
11. Tan Heng Chew - AS$1.2 bilion (RM3.71 b)
12. Shahril & Shahriman Shamsuddin - AS$1.05 bilion (RM3.24 b)
13. Chen Lip Keong - AS$1.01 bilion (RM3.12 b)
14. Lee Oi Hian & Lee Hau Hian - AS$1 bilion (RM3.09 b)
|
Sumber: Mr. Google |
Mata seakan terkesima dengan jumlah aset
yang dimiliki oleh para jutawan ini. Fikiran pula seakan melayang memikirkan
apakah usaha yang dilakukan oleh para jutawan tersebut sehingga mereka mampu
memiliki aset sebanyak itu. Bagaimana pula mereka menguruskan harta kekayaan
mereka yang berjuta-juta. Di mana mereka laburkan keuntungan yang mereka
hasilkan setiap bulan dan banyak lagi persoalan yang hinggap di akal fikiran.
Namun, di sebalik semua persoalan ini, saya yakin ramai yang akan membuat
kesimpulan bahawa hidup mereka pasti daam kemewahan.
Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menulis
rencana ini agar dapat memperbetulkan set minda atau cara pemikiran rakyat
tentang kehidupan seorang jutawan. Saya juga ingin mengajak masyarakat Malaysia
khususnya umat Islam untuk mengerah tenaga mencari kekayaan supaya dengannya masyarakat
dapat beribadah dan seterusnya meningkatkan lagi ekonomi umat Islam di negara
ini.
Bila bercakap tentang jutawan, pasti yang
terbayang di kotak fikiran kita adalah orang yang hidup dalam keadaan
serba-serbi mewah. Hal ini banyak didedahkan melalui saluran-saluran media massa seperti
filem, drama dan sebagainya. Hasil dari pendedahan itu, kebanyakan orang
berpendapat dengan mempunyai kereta mewah siri terbaru, rumah banglo
bertingkat-tingkat, berpakaian yang berjenama, juga beristeri lebih merupakan
antara ciri-ciri utama seorang jutawan. Mungkin ada juga berpendapat individu
atau keluarga yang memiliki syarikat besar dan hidup berfoya-foya seperti yang
banyak dipaparkan di dalam drama-drama bersiri Korea kegilaan remaja zaman kini
adalah orang yang jutawan.
Namun hakikatnya apa yang ditayangkan itu
jauh menyimpang dari situasi sebenar. Hal ini demikian kerana jutawan adalah
orang yang paling berjimat-cermat dan pandai menguruskan wang. Apa yang mereka
lakukan adalah refleksi dari apa yang mereka telah rancangkan sehari-hari.
Meraka tidak gemar untuk melakukan sesuatu di luar rancangan mereka kerana
takut akan mengganggu bajet atau kos yang diperuntukkan dalam tempoh masa
tertentu.
Hal di atas sejajar dengan perintah Allah
di dalam Surah al-Furqan ayat 67, yang bermaksud, “Dan juga mereka (yang
diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah
melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka
adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” Maka,
bukanlah menjadi masalah bagi umat Islam mempraktikannya kerana ia sudah
termaktub di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu.
Selain mengamalkan sikap berjimat-cermat
dan mengurus wang dengan bijak, mereka juga berusaha mengekalkan cara hidup
yang sederhana. ‘Tingkatkan pendapatan dari semasa ke semasa, tetapi tetap
mengekalkan cara hidup yang lama’ adalah prinsip pegangan mereka. Prinsip
inilah yang kurang diambil berat oleh masyarakat hari ini. Hal ini dibuktikan melalui
satu maklum balas bahawa 80 peratus penduduk Malaysia menghabiskan pendapatan
bulanan mereka dalam perbelanjaan isi rumah dan terus meningkatkan perbelanjaan
tersebut jika mereka mengalami peningkatan pendapatan bulanan.
Tambahan lagi, hampir keseluruhan jutawan
di dunia ini tinggal di rumah sedia ada
yang sudah didiami selama 20 tahun. Begitu juga dengan kereta. Kebanyakan
mereka menggunakan kereta yang sudah dipakai selama lebih 10 tahun. Manakala
percutian ke luar negara juga hanya dilakukan sebanyak dua tahun sekali.
Walau bagaimanapun, pendedahan yang betul
tentang cara hidup dan sikap para jutawan yang mudah ini tidak akan dapat
dipraktikkan oleh masyarakat jika mereka tidak ada kemahuan untuk mengejar
kekayaan tersebut. Memang tidak dinafikan kekayaan tidak boleh memberikan
segala-galanya, tetapi banyak tuntutan yang tidak dapat dilaksanakan jika kita
tidak mempunyai wang. Perbelanjaan sekolah anak-anak, belanja dapur, sewa rumah
dan insuran kereta semuanya memerlukan wang.
Oleh yang demikian, jika dipandang dari
kaca mata Islam, galakan supaya gigih mencari rezeki dan kesenangan dunia itu
telah lama dikhabarkan seiring dengan kedatangan Islam dahulu. Kekayaan dan
kesenangan hidup bukan sahaja dapat memberi jaminan masa depan yang baik terhadap
pemiliknya, malah ia mampu menjadi penyumbang utama dalam memakmurkan umat
Islam.
Allah Swt berfirman di dalam Surah Al-Hijr
ayat 19 dan 20, yang bermaksud, “Dan Kami telah menghamparkan bumi dan
menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu
menurut ukuran. Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan
hidup, dan (Kami menciptakan pula) makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan
pemberi rezki kepadanya.” Ayat ini menjelaskan Allah memberi kebenaran dan
galakan untuk manusia untuk memanfaatkan hasil bumi, baik pertanian, bahkan
haiwan dan tumbuhan untuk keperluan manusia. Oleh itu, manusia boleh
memanfaatkannya untuk kemakmuran hidup dan juga sebagai jalan untuk memperoleh
kekayaan.
Malangnya hal ini turut disalahertikan oleh
masyarakat kita hari ini. Mereka berpendapat mencari kesenangan hidup adalah
sia-sia kerana semua harta pasti akan ditinggalkan apabila mati kelak. “Hidup
ini perlu bersederhana, jadi buat apa buang masa kumpul duit dan harta. Bukan boleh bawa masuk kubur pun.” Lebih
kurang beginilah ayat yang akan diungkapkan oleh masyarakat yang kurang faham
tentang kekayaan dan konsep kesederhanaan di dalam Islam.
Hakikatnya, Allah SWT berfirman di dalam
Surah al-Jumu’ah, ayat ke 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai
sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing),
dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta banyakkanlah
mengingati Allah (dalam apa jua keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di
akhirat).”
Allah Taala juga berfirman di dalam Surah
at-Taubah ayat 105 bermaksud, “Dan katakanlah (wahai Muhammad) bekerjalah kamu
(akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang
yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”
Ayat-ayat di atas jelas menerangkan tentang
suruhan bekerja atau melaksanakan perintah Allah. Perintah Allah ini
termasuklah membayar zakat. Namun bagaimana mungkin seseorang yang tidak
mempunyai wang atau tidak berharta mampu membayar zakat? Bagaimana pula seseorang
itu dapat menyumbang kepada negara jika apa yang dia miliki masih tidak
mencukupi buat dirinya mahupun keluarganya?
Oleh itu, masyarakat perlu sedar bahawa mencari
rezeki dan kekayaan dengan bersungguh-sungguh itu adalah penting. Ia perlu
untuk membangunkan umat sekaligus membuktikan bahawa tidak mustahil untuk
membawa harta kekayaan ke dalam kubur bila sudah mati nanti. Zakat, sedekah, infaq
dan wakaf di jalan Allah semuanya akan menemani kita di dalam kubur kerana
ianya tergolong dalam amal jariah yang tidak akan terputus dari kita walau
nyawa berpisah dari badan.
Dalam pada itu, sederhana yang dimaksudkan
dalam Islam adalah apabila seseorang itu memiliki kekayaan di dunia ini tetapi menguruskannya
dengan penuh kesederhanaan untuk keperluan hidup dirinya dan keluarga. Disamping
itu, mereka perlu memikirkan tanggungjawab yang mereka perlu lakukan dengan
harta kekayaan mereka untuk membantu masyarakat sekitarnya yang memerlukan dan
bukannya untuk kepentingan hidup diri sendiri sahaja.
Dengan kata lain, Islam menyarankan agar
kita bersederhana menggunakan kekayaan dengan sewajarnya agar sebahagian
daripadanya dapat disumbangkan semula melalui amal jariah. Contoh yang paling
dekat dengan kita adalah jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Beliau tidak
menggunakan seluruh kekayaannya untuk dirinya sahaja mahupun keluarga,
sebaliknya memberi sumbangan yang besar dnegan menubuhkan yayasannya tersendiri.
Yayasan beliau banyak membantu sekolah-sekolah di Malaysia dalam membangunkan
kualiti pendidikan.
Sementara itu, Dr. Nuradli Rizwan Shah bin Mohd Dali,
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM), ketika ditemu bual berkata, pengurusan kewangan adalah asas utama untuk
menjadi manusia yang kaya. Hal ini kerana, walaupun seseorang itu dapat
menghasilkan pendapatan yang tinggi setiap bulan, tetapi dia gagal untuk
menguruskan wang tersebut, wang itu akan habis dengan sekelip mata.
Beliau juga membuat
perbandingan antara orang yang mempunyai sedikit pendapatan tetapi bijak
menyimpan dengan orang yang memiliki banyak pendapatan tetapi tidak ada
simpanan, malah berhutang. Maka orang yang banyak menyimpan itulah yang lebih
baik. Ini kerana, apa yang membezakan jutawan dengan orang biasa adalah,
bagaimana dia mengurus pendapatannya dengan baik kemudian dia melabur
menggunakan wang simpanan tersebut untuk memaksimakan lagi pendapatannya.
Oleh yang demikian,
masyarakat yang mahu jadi seperti jutawan perlulah memastikan simpanan kewangan
mereka berterusan dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama, masyarakat mesti
membuat perancangan yang teratur dan sistematik dalam usaha mengembangkan lagi
harta dan aset sedia ada. Masyarakat juga perlu mengkaji dan berhati-hati
ketika membuat apa-apa keputusan seperti pelaburan. Ianya mestilah menepati
garis panduan yang yang telah ditetapkan oleh Islam.
Akhir sekali, masyarakat hari ini haruslah
mengubah corak pemikirin mereka dan mulai mempelajari cara pemikiran jutawan.
Semamangnya tidak mudah untuk menjadi jutawan sebagaimana yang telah dikecapi
oleh taikun-taikun di nagara ini, tetapi masyarakat perlu berusaha sedaya
mungkin agar menaikkan taraf hidup masing-masing. Perlu diingatkan, kunci utama
menjadi jutawan adalah berjimat-cermat, banyak menyimpan dan bijak mengurus
wang. Semoga usaha mencari kekayaan ini tidak akan sia-sia kerana dengannya
banyak sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat dan negara.
|
Sumber: Mr. Google (berkilau.webs.com) |
Selamat beramal :)