21:32 -
No comments
Tahukah anda?
Makan berlebihan meningkatkan risiko
masalah otak dan ingatan
Ramai yang sedia maklum makan berlebihan
akan menyebabkan obesiti. Obesiti pula akan mendorong kepada peningkatan
risiko-risiko penyakit berbahaya yang lain seperti kencing manis, tekanan darah
tinggi, sakit jantung serta bermacam-macam lagi jenis penyakit. Namun masih
kurang yang menyedari makan berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit otak.
Penyakit otak ini termasuklah kurang daya ingatan dan otak menjadi tumpul.
Dalam istilah sainsnya pula, penyakit ini lebih dikenai sebagai demensia
dan Alzheimer. Demensia adalah sejenis masalah penyakit yang
berkaitan dengan daya ingatan yang disebabkan oleh kematian sel-sel otak secara abnormal. Manakala Alzheimer merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi
saraf otak yang
kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukannya sejenis penyakit
berjangkit. Penyakit Alzheimer juga adalah keadaan di mana daya ingatan
seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus
diri sendiri.
Satu kajian
yang dijalankan tahun lepas berkenaan makan berlebihan melaporkan, tabiat makan
berlebihan yang juga dikaitkan dengan pengambilan kalori yang banyak mampu
menjejaskan fungsi otak.
David
Loewenstein, seorang profesor psikiatri dan sains tingkah laku di University of
Miami Miller School of Medicine, berkata peningkatan pengambilan kalori
dikaitkan dengan obesiti dan sindrom metabolik, maka tidak menghairankan jika
kalori meningkat juga dikaitkan dengan kemerosotan kognitif yang meningkat.
Kajian ini menunjukkan bahawa apa-apa yang baik untuk jantung - seperti menurunkan
pengambilan kalori - adalah baik untuk otak.
Satu kajian
lain yang dilakukan di Mayo Clinic juga
membuktikan semakin banyak pengambilan makanan yang diambil setiap hari akan
menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi kepada masalah memori, dan mungkin
penyakit Alzheimer apabila seseorang mencapai usia 70 tahun. Kajian ini
dilakukan dengan menganalisis data kepada lebih daripada 1,200 warga emas di
Olmstead County, Minnesota. Hasilnya, mereka mendapati terdapat dua kali ganda
risiko kemerosotan ingatan di kalangan warga emas yang mengambil antara 2,143
dan 6,000 kalori sehari berbanding dengan mereka yang mengambil kalori antara
600 dan 1,525 sehari.
Berdasarkan kajian-kajian
terbaru ini, maka jelaslah menunjukkan bahawa makan berlebihan bukan sahaja
menyebabkan kegemukan dan penyakit kronik yang lain, malah berisiko mengganggu
keberkesanan fungsi otak dan memori seseorang.
Namun, jika
diteliti dengan lebih lanjut menurut kaca mata Islam, kajian-kajian di atas
sebenarnya telah lama menjadi satu pesanan ataupun amaran daripada Allah dan
Rasulnya kepada umat Islam seluruhnya.
Memang tidak
dapat disangkal lagi, makan berlebihan mampu mengundang 1001 macam penyakit
kepada tubuh badan manusia malah merupakan satu amalan yang dibenci oleh Allah.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan makanlah dan minumlah, jangan
berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
berlebihan.” (Surah Al-A’raaf:31) Rasulullah S.A.W. juga
bersabda: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih
buruk dari perutnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rasulullah juga
berpesan di dalam sambungan hadis di atas dengan sabdanya: “Cukuplah bagi anak
keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang
punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah satu pertiga
untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk
nafasnya.”
Hadis di atas
menjelaskan tentang larangan memakan makanan secara berlebihan kerana amalan
tersebut pasti membawa kesan yang buruk kepada manusia. Penyakit-penyakit
berbahaya akan mudah bersarang di dalam tubuh jika membiasakan perut diisi
terlalu banyak sehingga menyebabkan kekenyangan yang melampau. Begitu juga dari
sudut rohani. Perut yang terlalu kenyang akan mengakibatkan hati menjadi lemah
seterusnya mempengaruhi corak pemikiran seseorang.
Dalam hadis
lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan
banyak (berlebih) makan dan minum, walaupun yang halal. Kerana hati itu ibarat
tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air.” Mematikan hati
di dalam hadis di atas bermaksud apabila makan berlebihan akan menyebabkan
seseorang itu menjadi lemah dan malas untuk melakukan aktiviti berfaedah
seperti beribadah dan menuntut ilmu. Maka kurangnya ilmu di dada akan
menyebabkan hati menjadi keras dan mati.
Selain itu, Luqmanul Hakim juga pernah berpesan kepada anaknya tentang
keburukan makan berlebihan. Apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan
tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran), dan anggota badan pun
terasa berat dari ibadah. Berbeza dengan perut kosong dan lapar yang dapat
membersihkan hati, menghilangkan sifat buruk, dan meningkatkan kecerdasan serta
wawasan.
Bukan itu
sahaja, bahana kekenangan ini juga diterangkan oleh Imam Al Ghazali di dalam
Kitab Minhaj al-Abidin dan di dalam kitab Penawar Bagi Hati karangan Sheikh
Abdul Qadir Bin Abdul Mutoli. Antaranya ialah, banyak makan itu mengurangkan
kecerdikan dan kepintaran. Ia juga punca sukarnya memahami ilmu dan
pengetahuan.
Sebagai
kesimpulannya, amalan makan berlebihan perlulah dielakkan untuk memastikan
kesejahteraan hidup berpanjangan. Harus diingati, untuk kekal produktif dan
berwawasan, seseorang itu perlu menjaga perutnya dengan meneliti jumlah
pengambilan makanannya. Pengambilan yang berlebihan pasti mengundang pelbagai
penyakit bukan sahaja jasmani malah fungsi otak dan rohani.
0 comments:
Post a Comment