Thursday 7 March 2013

02:30 - No comments

JADILAH JUTAWAN SEBENAR


Pada akhbar bertarikh 01 Mac baru-baru ini, dunia perniagaan negara kita menyaksikan peningkatan bilangan rakyat Malaysia seramai tiga orang yang mempunyai aset lebih AS$1 bilion yang bersamaan dengan RM3.09 bilion. Jumlah tersebut meningkat kepada 14 orang berbanding 11 orang pada tahun 2011. Berikut merupakan senarai jutawan atau billionare di Malaysia.

1.       Robert Kuok - AS$12.5 bilion (RM38.63 b)
2.      Ananda Krishnan - AS$11.7 bilion (RM36.15 b)
3.      Lim Kok Thay - AS$6.6 bilion (RM20.39 b)
4.      Teh Hong Piow - AS$5.6 bilion (RM17.30 b)
5.      Quek Leng Chan - AS$4.8 bilion (RM14.83 b)
6.      Lee Shin Cheng - AS$4.5 bilion (RM13.91 b)
7.      Yeoh Tiong Lay - AS$2.8 bilion (RM8.65 b)
8.     Syed Mokhtar AlBukhary - AS$2.75 bilion (RM8.50 b)
9.      Tiong Hiew King - AS$1.8 bilion (RM5.56 b)
10.  Vincent Tan - AS$1.3 bilion (RM4.02 b)
11.   Tan Heng Chew - AS$1.2 bilion (RM3.71 b)
12.  Shahril & Shahriman Shamsuddin - AS$1.05 bilion (RM3.24 b)
13.  Chen Lip Keong - AS$1.01 bilion (RM3.12 b)
14.  Lee Oi Hian & Lee Hau Hian - AS$1 bilion (RM3.09 b)

Sumber: Mr. Google

            Mata seakan terkesima dengan jumlah aset yang dimiliki oleh para jutawan ini. Fikiran pula seakan melayang memikirkan apakah usaha yang dilakukan oleh para jutawan tersebut sehingga mereka mampu memiliki aset sebanyak itu. Bagaimana pula mereka menguruskan harta kekayaan mereka yang berjuta-juta. Di mana mereka laburkan keuntungan yang mereka hasilkan setiap bulan dan banyak lagi persoalan yang hinggap di akal fikiran. Namun, di sebalik semua persoalan ini, saya yakin ramai yang akan membuat kesimpulan bahawa hidup mereka pasti daam kemewahan.

    Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menulis rencana ini agar dapat memperbetulkan set minda atau cara pemikiran rakyat tentang kehidupan seorang jutawan. Saya juga ingin mengajak masyarakat Malaysia khususnya umat Islam untuk mengerah tenaga mencari kekayaan supaya dengannya masyarakat dapat beribadah dan seterusnya meningkatkan lagi ekonomi umat Islam di negara ini.

            Bila bercakap tentang jutawan, pasti yang terbayang di kotak fikiran kita adalah orang yang hidup dalam keadaan serba-serbi mewah. Hal ini banyak didedahkan  melalui saluran-saluran media massa seperti filem, drama dan sebagainya. Hasil dari pendedahan itu, kebanyakan orang berpendapat dengan mempunyai kereta mewah siri terbaru, rumah banglo bertingkat-tingkat, berpakaian yang berjenama, juga beristeri lebih merupakan antara ciri-ciri utama seorang jutawan. Mungkin ada juga berpendapat individu atau keluarga yang memiliki syarikat besar dan hidup berfoya-foya seperti yang banyak dipaparkan di dalam drama-drama bersiri Korea kegilaan remaja zaman kini adalah orang yang jutawan.

Namun hakikatnya apa yang ditayangkan itu jauh menyimpang dari situasi sebenar. Hal ini demikian kerana jutawan adalah orang yang paling berjimat-cermat dan pandai menguruskan wang. Apa yang mereka lakukan adalah refleksi dari apa yang mereka telah rancangkan sehari-hari. Meraka tidak gemar untuk melakukan sesuatu di luar rancangan mereka kerana takut akan mengganggu bajet atau kos yang diperuntukkan dalam tempoh masa tertentu.

Hal di atas sejajar dengan perintah Allah di dalam Surah al-Furqan ayat 67, yang bermaksud, “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” Maka, bukanlah menjadi masalah bagi umat Islam mempraktikannya kerana ia sudah termaktub di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu.

Selain mengamalkan sikap berjimat-cermat dan mengurus wang dengan bijak, mereka juga berusaha mengekalkan cara hidup yang sederhana. ‘Tingkatkan pendapatan dari semasa ke semasa, tetapi tetap mengekalkan cara hidup yang lama’ adalah prinsip pegangan mereka. Prinsip inilah yang kurang diambil berat oleh masyarakat hari ini. Hal ini dibuktikan melalui satu maklum balas bahawa 80 peratus penduduk Malaysia menghabiskan pendapatan bulanan mereka dalam perbelanjaan isi rumah dan terus meningkatkan perbelanjaan tersebut jika mereka mengalami peningkatan pendapatan bulanan.

Tambahan lagi, hampir keseluruhan jutawan di dunia ini tinggal di rumah sedia ada  yang sudah didiami selama 20 tahun. Begitu juga dengan kereta. Kebanyakan mereka menggunakan kereta yang sudah dipakai selama lebih 10 tahun. Manakala percutian ke luar negara juga hanya dilakukan sebanyak dua tahun sekali. 

Walau bagaimanapun, pendedahan yang betul tentang cara hidup dan sikap para jutawan yang mudah ini tidak akan dapat dipraktikkan oleh masyarakat jika mereka tidak ada kemahuan untuk mengejar kekayaan tersebut. Memang tidak dinafikan kekayaan tidak boleh memberikan segala-galanya, tetapi banyak tuntutan yang tidak dapat dilaksanakan jika kita tidak mempunyai wang. Perbelanjaan sekolah anak-anak, belanja dapur, sewa rumah dan insuran kereta semuanya memerlukan wang.
Oleh yang demikian, jika dipandang dari kaca mata Islam, galakan supaya gigih mencari rezeki dan kesenangan dunia itu telah lama dikhabarkan seiring dengan kedatangan Islam dahulu. Kekayaan dan kesenangan hidup bukan sahaja dapat memberi jaminan masa depan yang baik terhadap pemiliknya, malah ia mampu menjadi penyumbang utama dalam memakmurkan umat Islam.

Allah Swt berfirman di dalam Surah Al-Hijr ayat 19 dan 20, yang bermaksud, “Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran. Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup, dan (Kami menciptakan pula) makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezki kepadanya.” Ayat ini menjelaskan Allah memberi kebenaran dan galakan untuk manusia untuk memanfaatkan hasil bumi, baik pertanian, bahkan haiwan dan tumbuhan untuk keperluan manusia. Oleh itu, manusia boleh memanfaatkannya untuk kemakmuran hidup dan juga sebagai jalan untuk memperoleh kekayaan.

Malangnya hal ini turut disalahertikan oleh masyarakat kita hari ini. Mereka berpendapat mencari kesenangan hidup adalah sia-sia kerana semua harta pasti akan ditinggalkan apabila mati kelak. “Hidup ini perlu bersederhana, jadi buat apa buang masa kumpul duit dan harta.  Bukan boleh bawa masuk kubur pun.” Lebih kurang beginilah ayat yang akan diungkapkan oleh masyarakat yang kurang faham tentang kekayaan dan konsep kesederhanaan di dalam Islam.

Hakikatnya, Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Jumu’ah, ayat ke 10 yang bermaksud, “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta banyakkanlah mengingati Allah (dalam apa jua keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Allah Taala juga berfirman di dalam Surah at-Taubah ayat 105 bermaksud, “Dan katakanlah (wahai Muhammad) bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

Ayat-ayat di atas jelas menerangkan tentang suruhan bekerja atau melaksanakan perintah Allah. Perintah Allah ini termasuklah membayar zakat. Namun bagaimana mungkin seseorang yang tidak mempunyai wang atau tidak berharta mampu membayar zakat? Bagaimana pula seseorang itu dapat menyumbang kepada negara jika apa yang dia miliki masih tidak mencukupi buat dirinya mahupun keluarganya?

Oleh itu, masyarakat perlu sedar bahawa mencari rezeki dan kekayaan dengan bersungguh-sungguh itu adalah penting. Ia perlu untuk membangunkan umat sekaligus membuktikan bahawa tidak mustahil untuk membawa harta kekayaan ke dalam kubur bila sudah mati nanti. Zakat, sedekah, infaq dan wakaf di jalan Allah semuanya akan menemani kita di dalam kubur kerana ianya tergolong dalam amal jariah yang tidak akan terputus dari kita walau nyawa berpisah dari badan. 

Dalam pada itu, sederhana yang dimaksudkan dalam Islam adalah apabila seseorang itu memiliki kekayaan di dunia ini tetapi menguruskannya dengan penuh kesederhanaan untuk keperluan hidup dirinya dan keluarga. Disamping itu, mereka perlu memikirkan tanggungjawab yang mereka perlu lakukan dengan harta kekayaan mereka untuk membantu masyarakat sekitarnya yang memerlukan dan bukannya untuk kepentingan hidup diri sendiri sahaja.

Dengan kata lain, Islam menyarankan agar kita bersederhana menggunakan kekayaan dengan sewajarnya agar sebahagian daripadanya dapat disumbangkan semula melalui amal jariah. Contoh yang paling dekat dengan kita adalah jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Beliau tidak menggunakan seluruh kekayaannya untuk dirinya sahaja mahupun keluarga, sebaliknya memberi sumbangan yang besar dnegan menubuhkan yayasannya tersendiri. Yayasan beliau banyak membantu sekolah-sekolah di Malaysia dalam membangunkan kualiti pendidikan.

            Sementara itu,  Dr. Nuradli Rizwan Shah bin Mohd Dali, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ketika ditemu bual berkata, pengurusan kewangan adalah asas utama untuk menjadi manusia yang kaya. Hal ini kerana, walaupun seseorang itu dapat menghasilkan pendapatan yang tinggi setiap bulan, tetapi dia gagal untuk menguruskan wang tersebut, wang itu akan habis dengan sekelip mata.

            Beliau juga membuat perbandingan antara orang yang mempunyai sedikit pendapatan tetapi bijak menyimpan dengan orang yang memiliki banyak pendapatan tetapi tidak ada simpanan, malah berhutang. Maka orang yang banyak menyimpan itulah yang lebih baik. Ini kerana, apa yang membezakan jutawan dengan orang biasa adalah, bagaimana dia mengurus pendapatannya dengan baik kemudian dia melabur menggunakan wang simpanan tersebut untuk memaksimakan lagi pendapatannya.

            Oleh yang demikian, masyarakat yang mahu jadi seperti jutawan perlulah memastikan simpanan kewangan mereka berterusan dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama, masyarakat mesti membuat perancangan yang teratur dan sistematik dalam usaha mengembangkan lagi harta dan aset sedia ada. Masyarakat juga perlu mengkaji dan berhati-hati ketika membuat apa-apa keputusan seperti pelaburan. Ianya mestilah menepati garis panduan yang yang telah ditetapkan oleh Islam.

Akhir sekali, masyarakat hari ini haruslah mengubah corak pemikirin mereka dan mulai mempelajari cara pemikiran jutawan. Semamangnya tidak mudah untuk menjadi jutawan sebagaimana yang telah dikecapi oleh taikun-taikun di nagara ini, tetapi masyarakat perlu berusaha sedaya mungkin agar menaikkan taraf hidup masing-masing. Perlu diingatkan, kunci utama menjadi jutawan adalah berjimat-cermat, banyak menyimpan dan bijak mengurus wang. Semoga usaha mencari kekayaan ini tidak akan sia-sia kerana dengannya banyak sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat dan negara.

Sumber: Mr. Google (berkilau.webs.com)


Selamat beramal :)

0 comments:

Post a Comment