22:00 -
No comments
Sifir Sedekah
Sifir Sedekah: Ilmu yang menjadikan anda kaya
serta merta
Dewasa kini, amalan bersedekah dan
bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam
kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Malah sikap
ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara-negara
yang memerlukan bantuan.
Hal ini
kerana semua fahaman dan agama
yang berbeza mempunyai prinsip-prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama
Islam, Buddha, Hindu, Kristian,
Sikh, malah ajaran Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa
menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling
membantu.
Perbuatan Baik adalah Sedekah
Rakyat
Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan
kesusahan yang dihadapi oleh saudara-saudara mereka di seluruh dunia. Apatah lagi bila diwar-warkan berkenaan kisah penderitaan
yang telah lama ditanggung oleh saudara mereka sejak lebih 60 tahun dahulu, tidak
lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin.
Selain
terus-menerus mengirimkan doa dari kejauhan, umat Islam tidak pernah putus dari
memberikan pertolongan dari segi wang ringgit, makanan, pakaian dan juga
perkhidmatan sukarelawan. Inilah yang diterjemah sebagai sedekah dan
bantu-membantu. Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana
ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada
dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan
baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.
Subhanallah!
Sungguh,
Maha Suci Allah yang menciptakan sedekah. Amalan kebaikan yang mudah dalam
bentuk apa jua sekalipun, ia dikira sedekah. Seperti yang terdapat di dalam
hadith Rasulullah saw. : Daripada Abu Hurairah “Telah bersabda Rasulullah saw
setiap anggota badan manusia adalah bersedekah setiap hari selama matahari
masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah,
kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat
barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu
adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan
menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” [Bukhari
no. 2989, Muslim no. 1009]
Masih Kurang Faham
Namun, tidak
pula dinafikan masih ada segelintir masyarakat yang kurang prihatin tentang impak
positif amalan sedekah ini terhadap dirinya dan juga masyarakat. Masih ada yang
segan silu menghulurkan bantuan walau mempunyai banyak kelebihan, apatah lagi
sedikit. Mereka berasa kurang apabila memberi. Juga berasa takut akan
kehilangan barang kesayangan. Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan
tentang kelebihan-kelebihan bersedekah seperti mana yang telah dijelaskan di
dalam al-Quran dan Sunnah.
Mungkin
juga ada yang sengaja tidak mahu memahaminya kerana hawa nafsu telah
bermaharajalela di dalam sanubari, ingin mengaut segala keuntungan yang ada di
dunia yang fana ini. Sehingga lupa akan kewajipan membantu saudara seagama, dan
lebih teruk lagi alpa (leka) dari mengingati bahawa kehidupan bukan terhenti
setakat di sini. Padahal bagi manusia yang percaya akan Allah dan Rasul-nya
serta hari pembalasan, apa yang telah
mereka lakukan di atas dunia, semua punyai dimensi akhirat.
Sifir Sedekah
Bagi yang
kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran
yang telah Allah sediakan untuk hambanya yang suka bersedekah. Sifir ini
termaktub di dalam al-Quran, Surah al-An’am, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal
kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama
dengannya.”
Ustaz Yusuf Mansur,
pengetua Pondok Pesantren Daarul
Quran Bulak Santri, Indonesia, dalam ceramahnya yang
bertajuk keajaiban sedekah, beliau telah menerangkan ayat al-Quran di atas
dengan panjang lebar bersama contoh dan persoalan yang mampu membuat kita
terkedu dek terkena batang hidung sendiri.
Menurut dalil al-Quran di
atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya
kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita
ada ialah sembilan: ( 10 – 1 = 9 ). Tetapi bila kita aplikasikan formula sifir
sedekah dalam konteks ini, nilaian satu yang kita telah berikan itu akan
digandakan dengan sepuluh. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu
tadi bukanla sembilan, tapi 19. ( 10 – 1 = 9) Ini adalah jumlah yang
kita miliki selepas memberi atau bersedekah. ( 1 x 10 = 10), manakala ini pula adalah
aplikasi sifir sedekah tadi. Beri satu, digandakan dengan 10. Natijahnya, baki
yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 td, jadilah 19, (9 + 10 = 19
). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.
Jika kita memberi, memang
secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun ia bertambah di
sisi Allah SWT malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda.
Sebagaimana dalam firman Allah, “Perumpamaan
(nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama
seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai
itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan
pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat)
kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” Surah al-Baqarah, ayat 261.
Kaya Serta
Merta
Bila sudah memahahami sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah
akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, bila memberi
satu, bukan berkurang tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan
hingga 700 kali ganda. Bayangkan, jika kita bersedekah RM5 kepada seorang
peminta sedekah, bila di ganda dengan 10, maka hasil yang kita dapat adalah
RM50. Kalau digandakan lagi dengan 700, jumlahnya RM35000! Subhanallah. Inilah
bukti bahawa Allah itu Maha Pemurah.
Walau bagaimanapun, bila kita memberi dengan ikhlas, insyaAllah segala
bentuk pulangan atau ganjaran pasti dapat dilupakan. Memang, tidak salah kita
berpegang dengan janji Allah yang akan menggantikan pemberian kita dengan
gandaan 10 sama seperti apa yang kita beri, malah itulah tuntutan. Tetapi
jangan sampai hal ini menyebabkan kita sentiasa tertunggu-tunggu ganjaran
tersebut sehingga kita mempersoalkannya suatu hari nanti. Nauzubillah. Apabila
Allah sudah berjanji, maka yakinlah ia pasti terjadi. Allah maha menepati
janji.
Kita harus
sentiasa beringat, jika tidak diberikan ganjaran dalam bentuk yang sama, pasti
Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Kalau tidak dapat
di dunia, percayalah di akhirat lagi besar ganjaran yang Allah simpan untuk
hambanya yang benar-benar ikhlas dalam bersedekah. Bukankah hari akhirat itu
jauh lebih baik dari dunia?
Allah
berfirman, “Dan
(ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi Segala kesenangan dan
kemewahannya, jika dinilaikan Dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah
ibarat hiburan dan permainan; dan Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan
Yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka
tidak akan melupakan hari Akhirat).” Surah al-Ankabut, ayat 64.
Fikir Sejenak
Cuba bayangkan sebentar, kita berhajat hendak pergi ke
pasar, semasa dalam perjalanan ke pasar, kita melalui satu lorong di mana ada
seorang lelaki yang telah uzur, terperuk di pinggir jalan. Badannya lemah,
matanya sayu, lalu dia menghulurkan tangannya kepada yang lalu-lalang di situ.
Bergetar hati kita, mahu memberikan sedikit bantuan kepada lelaki itu. Lantas
tangan meraba poket mencari kalau-kalau ada yang boleh diberikan.
Helaian duit warna biru kehijauan
ada dua, warna merah ada lima, warna biru yang berukuran kecil sedikit ada
satu. Jadi jumlahnya semua RM151. Agak-agaknya, mana satu yang kita akan
berikan pada lelaki itu? Tepuk dada, tanyalah iman.
Akhir kalam,
semoga kita tidak menjadikan sedekah hanya satu kebetulan. Jika tidak ke
masjid, tidaklak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiadalah yang mahu
disumbangkan, tetapi jadikanlah ia
sebagai amalan harian kita. Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya.
Alangkah hebatnya seorang muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak
dapat memberi dalam sehari.
0 comments:
Post a Comment