Tuesday 14 May 2013

21:32 - No comments

Tahukah anda?

Makan berlebihan meningkatkan risiko masalah otak dan ingatan

Ramai yang sedia maklum makan berlebihan akan menyebabkan obesiti. Obesiti pula akan mendorong kepada peningkatan risiko-risiko penyakit berbahaya yang lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung serta bermacam-macam lagi jenis penyakit. Namun masih kurang yang menyedari makan berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit otak. Penyakit otak ini termasuklah kurang daya ingatan dan otak menjadi tumpul.
Dalam istilah sainsnya pula, penyakit ini lebih dikenai sebagai demensia dan Alzheimer. Demensia adalah sejenis masalah penyakit yang berkaitan dengan daya ingatan yang disebabkan oleh kematian sel-sel otak secara abnormal. Manakala Alzheimer merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukannya sejenis penyakit berjangkit. Penyakit Alzheimer juga adalah keadaan di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri.
Satu kajian yang dijalankan tahun lepas berkenaan makan berlebihan melaporkan, tabiat makan berlebihan yang juga dikaitkan dengan pengambilan kalori yang banyak mampu menjejaskan fungsi otak.
David Loewenstein, seorang profesor psikiatri dan sains tingkah laku di University of Miami Miller School of Medicine, berkata peningkatan pengambilan kalori dikaitkan dengan obesiti dan sindrom metabolik, maka tidak menghairankan jika kalori meningkat juga dikaitkan dengan kemerosotan kognitif yang meningkat. Kajian ini menunjukkan bahawa apa-apa yang baik untuk jantung - seperti menurunkan pengambilan kalori - adalah baik untuk otak.
Satu kajian lain yang dilakukan di Mayo Clinic  juga membuktikan semakin banyak pengambilan makanan yang diambil setiap hari akan menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi kepada masalah memori, dan mungkin penyakit Alzheimer apabila seseorang mencapai usia 70 tahun. Kajian ini dilakukan dengan menganalisis data kepada lebih daripada 1,200 warga emas di Olmstead County, Minnesota. Hasilnya, mereka mendapati terdapat dua kali ganda risiko kemerosotan ingatan di kalangan warga emas yang mengambil antara 2,143 dan 6,000 kalori sehari berbanding dengan mereka yang mengambil kalori antara 600 dan 1,525 sehari.
Berdasarkan kajian-kajian terbaru ini, maka jelaslah menunjukkan bahawa makan berlebihan bukan sahaja menyebabkan kegemukan dan penyakit kronik yang lain, malah berisiko mengganggu keberkesanan fungsi otak dan memori seseorang.
Namun, jika diteliti dengan lebih lanjut menurut kaca mata Islam, kajian-kajian di atas sebenarnya telah lama menjadi satu pesanan ataupun amaran daripada Allah dan Rasulnya kepada umat Islam seluruhnya.
Memang tidak dapat disangkal lagi, makan berlebihan mampu mengundang 1001 macam penyakit kepada tubuh badan manusia malah merupakan satu amalan yang dibenci oleh Allah. Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan makanlah dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan.” (Surah Al-A’raaf:31) Rasulullah S.A.W. juga bersabda: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rasulullah juga berpesan di dalam sambungan hadis di atas dengan sabdanya: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya.”
Hadis di atas menjelaskan tentang larangan memakan makanan secara berlebihan kerana amalan tersebut pasti membawa kesan yang buruk kepada manusia. Penyakit-penyakit berbahaya akan mudah bersarang di dalam tubuh jika membiasakan perut diisi terlalu banyak sehingga menyebabkan kekenyangan yang melampau. Begitu juga dari sudut rohani. Perut yang terlalu kenyang akan mengakibatkan hati menjadi lemah seterusnya mempengaruhi corak pemikiran seseorang.
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walaupun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air.” Mematikan hati di dalam hadis di atas bermaksud apabila makan berlebihan akan menyebabkan seseorang itu menjadi lemah dan malas untuk melakukan aktiviti berfaedah seperti beribadah dan menuntut ilmu. Maka kurangnya ilmu di dada akan menyebabkan hati menjadi keras dan mati.
Selain itu, Luqmanul Hakim  juga pernah berpesan kepada anaknya tentang keburukan makan berlebihan. Apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran), dan anggota badan pun terasa berat dari ibadah. Berbeza dengan perut kosong dan lapar yang dapat membersihkan hati, menghilangkan sifat buruk, dan meningkatkan kecerdasan serta wawasan.
Bukan itu sahaja, bahana kekenangan ini juga diterangkan oleh Imam Al Ghazali di dalam Kitab Minhaj al-Abidin dan di dalam kitab Penawar Bagi Hati karangan Sheikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutoli. Antaranya ialah, banyak makan itu mengurangkan kecerdikan dan kepintaran. Ia juga punca sukarnya memahami ilmu dan pengetahuan.
Sebagai kesimpulannya, amalan makan berlebihan perlulah dielakkan untuk memastikan kesejahteraan hidup berpanjangan. Harus diingati, untuk kekal produktif dan berwawasan, seseorang itu perlu menjaga perutnya dengan meneliti jumlah pengambilan makanannya. Pengambilan yang berlebihan pasti mengundang pelbagai penyakit bukan sahaja jasmani malah fungsi otak dan rohani.


0 comments:

Post a Comment