Thursday 2 May 2013

22:00 - No comments

Sifir Sedekah

Sifir Sedekah: Ilmu yang menjadikan anda kaya serta merta


Dewasa kini, amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam  kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Malah sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara-negara yang memerlukan bantuan.

Hal ini kerana  semua fahaman dan agama yang berbeza mempunyai prinsip-prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu.

Perbuatan Baik adalah Sedekah



            Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan yang dihadapi oleh saudara-saudara mereka di seluruh dunia.  Apatah lagi bila diwar-warkan berkenaan kisah penderitaan yang telah lama ditanggung oleh saudara mereka sejak lebih 60 tahun dahulu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin.

Selain terus-menerus mengirimkan doa dari kejauhan, umat Islam tidak pernah putus dari memberikan pertolongan dari segi wang ringgit, makanan, pakaian dan juga perkhidmatan sukarelawan. Inilah yang diterjemah sebagai sedekah dan bantu-membantu. Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah. Subhanallah!

            Sungguh, Maha Suci Allah yang menciptakan sedekah. Amalan kebaikan yang mudah dalam bentuk apa jua sekalipun, ia dikira sedekah. Seperti yang terdapat di dalam hadith Rasulullah saw. : Daripada Abu Hurairah “Telah bersabda Rasulullah saw setiap anggota badan manusia adalah bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” [Bukhari no. 2989, Muslim no. 1009] 

Masih Kurang Faham

Namun, tidak pula dinafikan masih ada segelintir masyarakat yang kurang prihatin tentang impak positif amalan sedekah ini terhadap dirinya dan juga masyarakat. Masih ada yang segan silu menghulurkan bantuan walau mempunyai banyak kelebihan, apatah lagi sedikit. Mereka berasa kurang apabila memberi. Juga berasa takut akan kehilangan barang kesayangan. Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan tentang kelebihan-kelebihan bersedekah seperti mana yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah.

            Mungkin juga ada yang sengaja tidak mahu memahaminya kerana hawa nafsu telah bermaharajalela di dalam sanubari, ingin mengaut segala keuntungan yang ada di dunia yang fana ini. Sehingga lupa akan kewajipan membantu saudara seagama, dan lebih teruk lagi alpa (leka) dari mengingati bahawa kehidupan bukan terhenti setakat di sini. Padahal bagi manusia yang percaya akan Allah dan Rasul-nya serta hari pembalasan,  apa yang telah mereka lakukan di atas dunia, semua punyai dimensi akhirat.

Sifir Sedekah

Bagi yang kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran yang telah Allah sediakan untuk hambanya yang suka bersedekah. Sifir ini termaktub di dalam al-Quran, Surah al-An’am, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya.”

            Ustaz Yusuf Mansur, pengetua Pondok Pesantren Daarul Quran Bulak Santri, Indonesia, dalam ceramahnya yang bertajuk keajaiban sedekah, beliau telah menerangkan ayat al-Quran di atas dengan panjang lebar bersama contoh dan persoalan yang mampu membuat kita terkedu dek terkena batang hidung sendiri.

Menurut dalil al-Quran di atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita ada ialah sembilan: ( 10 – 1 = 9 ). Tetapi bila kita aplikasikan formula sifir sedekah dalam konteks ini, nilaian satu yang kita telah berikan itu akan digandakan dengan sepuluh. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu tadi bukanla sembilan,  tapi 19.          ( 10 – 1 = 9) Ini adalah jumlah yang kita miliki selepas memberi atau bersedekah. ( 1 x 10 = 10), manakala ini pula adalah aplikasi sifir sedekah tadi. Beri satu, digandakan dengan 10. Natijahnya, baki yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 td, jadilah 19, (9 + 10 = 19 ). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.

Jika kita memberi, memang secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun ia bertambah di sisi Allah SWT malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda. 
Sebagaimana dalam firman Allah, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”  Surah al-Baqarah, ayat 261.

Kaya Serta Merta

Bila sudah memahahami  sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, bila memberi satu, bukan berkurang tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan hingga 700 kali ganda. Bayangkan, jika kita bersedekah RM5 kepada seorang peminta sedekah, bila di ganda dengan 10, maka hasil yang kita dapat adalah RM50. Kalau digandakan lagi dengan 700, jumlahnya RM35000! Subhanallah. Inilah bukti bahawa Allah itu Maha Pemurah.

Walau bagaimanapun, bila kita memberi dengan ikhlas, insyaAllah segala bentuk pulangan atau ganjaran pasti dapat dilupakan. Memang, tidak salah kita berpegang dengan janji Allah yang akan menggantikan pemberian kita dengan gandaan 10 sama seperti apa yang kita beri, malah itulah tuntutan. Tetapi jangan sampai hal ini menyebabkan kita sentiasa tertunggu-tunggu ganjaran tersebut sehingga kita mempersoalkannya suatu hari nanti. Nauzubillah. Apabila Allah sudah berjanji, maka yakinlah ia pasti terjadi. Allah maha menepati janji.

Kita harus sentiasa beringat, jika tidak diberikan ganjaran dalam bentuk yang sama, pasti Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Kalau tidak dapat di dunia, percayalah di akhirat lagi besar ganjaran yang Allah simpan untuk hambanya yang benar-benar ikhlas dalam bersedekah. Bukankah hari akhirat itu jauh lebih baik dari dunia?

Allah berfirman, Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi Segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan Dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan Yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat).”  Surah al-Ankabut, ayat 64.

Fikir Sejenak

            Cuba bayangkan sebentar, kita berhajat hendak pergi ke pasar, semasa dalam perjalanan ke pasar, kita melalui satu lorong di mana ada seorang lelaki yang telah uzur, terperuk di pinggir jalan. Badannya lemah, matanya sayu, lalu dia menghulurkan tangannya kepada yang lalu-lalang di situ. Bergetar hati kita, mahu memberikan sedikit bantuan kepada lelaki itu. Lantas tangan meraba poket mencari kalau-kalau ada yang boleh diberikan.

            Helaian duit warna biru kehijauan ada dua, warna merah ada lima, warna biru yang berukuran kecil sedikit ada satu. Jadi jumlahnya semua RM151. Agak-agaknya, mana satu yang kita akan berikan pada lelaki itu? Tepuk dada, tanyalah iman.


Akhir kalam, semoga kita tidak menjadikan sedekah hanya satu kebetulan. Jika tidak ke masjid, tidaklak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiadalah yang mahu disumbangkan,  tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian kita. Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya. Alangkah hebatnya seorang muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak dapat memberi dalam sehari.  

0 comments:

Post a Comment